MUMBAI: Drama serangan Mumbai berakhir semalam selepas 60 jam dan 195 orang maut, apabila anggota komando India membunuh tiga lelaki bersenjata terakhir di Hotel Taj Mahal dengan fokus kini bertumpu kepada usaha mengenal pasti dalang di sebalik keganasan itu. Anggota keselamatan yang terus mencari tebusan yang dipercayai masih bersembunyi di bilik hotel sehingga ini hanya mengetahui pembabitan kumpulan ‘Deccan Mujahedeen’ yang mendakwa bertanggungjawab. Pada masa sama, India juga mendedahkan, penyerang tunggal yang ditahan membuat pengakuan berasal dari Pakistan menyebabkan New Delhi menuduh Islamabad turut bersalah. Bagaimanapun, Islamabad menafikan terbabit dan berjanji membantu siasatan. Sekumpulan ejen FBI juga dalam perjalanan ke India untuk memberi bantuan.
Penyerang terbabit jelas sudah bersedia, membawa beg besar diisi buah badam untuk terus bertahan ketika kepungan lama. Satu beg galas ditemui mengandungi 400 biji peluru. Kira-kira 295 orang turut cedera dalam keganasan yang bermula apabila sekurang-kurangnya 12 orang penyerang bersenjata lengkap menyerang 10 kawasan di seluruh bandar ini malam Rabu lalu. Sekurang-kurangnya 20 tentera dan polis turut terkorban dalam operasi berkenaan. Api dan asap hitam menyelubungi 565 bilik di Hotel Taj Mahal selepas subuh semalam ketika tentera India menamatkan kepungan dengan tembakan senjata api bertubi-tubi, beberapa jam selepas pasukan elit komando menyerbu sebuah pusat Yahudi dan menemui sembilan mayat tebusanAda tiga pengganas di Hotel Taj Mahal, kami sudah membunuh mereka,” kata J K Dutt, ketua pengarah unit elit komando Pengawal Keselamatan Nasional India. Tidak lama kemudian, orang ramai yang kagum mengelilingi enam bas membawa komando yang kelihatan letih dan tidak bercukur, bersalam dengan mereka serta memberi bunga. Komando terbabit yang berpakaian serba hitam ,berkata mereka diarah tidak bercakap mengenai operasi itu, namun mengakui tidak tidur sejak serangan bermula malam Rabu lalu. Dengan berakhirnya satu daripada serangan pengganas licik dalam sejarah India, perhatian beralih daripada operasi tentera kepada persoalan siapa dalang di sebalik serangan dan jumlah kematian orang awam yang tinggi.
Antara warga asing yang terbunuh adalah enam rakyat Amerika. Mangsa lain yang korban termasuk warga Israel, dua dari Perancis dan Australia manakala seorang warga Jerman, Jepun, China, Kanada, Britain, Itali, Singapura dan Thailand. Angka kematian berjumlah 195 orang menandakan serangan kali ini yang terburuk di India sejak pengeboman bersiri mengorbankan 257 orang pada 1993 di ibu kota kewangan India itu. India berulang kali digegarkan dengan serangan pengganas dipersalahkan ke atas militan Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun kebanyakannya disasarkan di tempat sesak seperti pasar, selekoh jalan dan taman. Mumbai, satu daripada bandar dengan penduduk paling sesak di dunia dengan kira-kira 18 juta orang, dilanda beberapa siri pengeboman pada Julai 2006 yang membunuh 187 orang. -AP